Penduduk menunjukkan lokasi kejadian harimau belang bergelut dengan seekor anjing. FOTO Ihsan Penduduk 
Penduduk menunjukkan lokasi kejadian harimau belang bergelut dengan seekor anjing. FOTO Ihsan Penduduk 
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Beberapa kali terserempak dengan harimau belang membuatkan penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai diburu ketakutan untuk ke kebun atau mencari hasil hutan.

Penduduk mendakwa beberapa kali terserempak dengan dua harimau belang pada waktu malam dan kejadian terbaru dua hari lalu.

Penduduk, Apek Asud Apek Asud, 39, berkata sejak kebelakangan semakin ramai penduduk terserempak harimau belang malah mendakwa anjing peliharaan turut menjadi sasaran haiwan liar itu.

"Sekarang nak keluar cari makan pun susah. Bila bangun pagi tapak harimau ada di setiap tempat dalam kawasan kampung.

"Adakalanya jika ingin ke kebun kami terpaksa keluar beramai-ramai. Saya harap tindakan segera dapat diambil bagi menjamin keselamatan kami penduduk di kawasan ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Manakala bagi Anjang Alang, 37, dia berharap masalah Orang Asli suku kaum Temiar di perkampungan itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Memang kami takut sekarang, Pak Belang berkeliaran di kawasan kampung, kami risau nanti penduduk pula yang menjadi mangsa.

"Sekarang hanya anjing yang menjadi mangsa. Saya harap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata sudah sebulan anggotanya berkampung di pos terbabit selepas menerima aduan penduduk.

"Insya-Allah kami juga mendapat bantuan daripada ibu pejabat untuk menyelesaikan masalah penduduk Orang Asli di pos terbabit," katanya.

Ogos lalu media melaporkan kemunculan harimau belang yang berkeliaran di beberapa kampung di Pos Bihai merisaukan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu, sehingga menyebabkan mereka takut keluar mencari rezeki di hutan atau kebun.

Penduduk mendakwa haiwan liar terbabit mula berkeliaran di kawasan Kampung Tendrik, Kampung Sau, Kampung Hak, Kampung Badak dan Kampung Bihai Lama sejak Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 1:01 PM