GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat, menafikan menerima surat permohonan pembubaran DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Suhaizan berkata, setakat hari ini beliau atau pejabatnya belum menerima sebarang surat berkaitan berkaitan PRN termasuk daripada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

"Tidak benar. Saya atau pejabat Speaker tidak menerima apa-apa surat pun berkaitan PRN, setakat hari ini.

"Tunggu Ahad nanti apabila pejabat dibuka semula," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebuah portal hari ini mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN Johor.

Laporan itu yang memetik sumber Umno turut mendakwa, DUN Johor akan dibubar pada Ahad ini, selepas permohonan untuk pembubaran DUN mendapat perkenan Istana Johor.

Tengah hari tadi, Hasni dilaporkan memberi isyarat PRN Johor mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan Umno dilaporkan turut memberi jaminan, jika PRN Johor dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia tidak akan mengganggu sebarang urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 8:55 PM