Keadaan lori kontena dan lori muatan tiga tan yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Sungai Besar-Sekinchan, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Keadaan lori kontena dan lori muatan tiga tan yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Sungai Besar-Sekinchan, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Besar-Sekinchan, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 5.59 pagi.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu lori kontena, lori muatan tiga tan dan motosikal Yamaha LC 135.

"Pemandu lori muatan tiga tan berusia 29 tahun dilaporkan patah kaki dan tersepit selama kira-kira 40 minit.

"Manakala penunggang motosikal pula meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diserahkan kepada pasukan perubatan serta polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:25 PM