Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Program Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M) mendapat sambutan di luar jangkaan apabila sebanyak 140 permohonan diterima sejak dilancarkan pada Julai tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, daripada jumlah permohonan itu, 37 permohonan sudah diterima ke peringkat seterusnya.

"Pada Disember lalu, kami menyerahkan Geran Padanan kepada 29 penerima untuk bakal francaisi F3M dan lapan penerima Geran Penuh untuk francaisor.

"Antara penerima geran ini adalah Oldtown White Coffee iaitu sebanyak RM50,000.

"Saya berbangga dengan pencapaian syarikat ini yang berjaya menyiapkan prototaip 'outlet' francais mampu milik iaitu Oldtown Express dengan jumlah kos permulaan RM100,000.

"Malah, saya dimaklumkan bahawa bakal francaisi mampu meraih keuntungan sebanyak 16 peratus untuk setiap 'outlet' ini," katanya selepas melancarkan prototaip pakej F3M di Oldtown White Coffee di One City, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr Radzali Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown White Coffee Dawn Liew.

Dalam majlis sama, turut berlangsung sesi libat urus bersama ahli MFA.

Hasnol berkata, terdapat tiga lagi francaisor sedang dalam peringkat terakhir penyediaan konsep F3M.

"Saya berharap lebih ramai francaisor dapat menyediakan pakej francais F3M yang mampu menberi peluang untuk berniaga kepada lebih ramai anggota masyarakat terutama golongan B40 dan M40.

"Saya berharap jumlah francaisi F3M akan bertambah sehingga 3,000 francaisi pada 2025 dan saya percaya 'the multiplier effect' kesan daripada F3M dapat menaikkan ekonomi Malaysia ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Radzali berkata, pihaknya berharap pelancaran prototaip pakej mampu milik Oldtown Express akan menjadi titik permulaan untuk membantu lebih ramai golongan B40 dan M40 menceburi bidang keusahawanan francais.

"Saya percaya pelancaran prototaip pakej mampu milik ini dapat memberi impak yang positif kepada pembangunan industri francais serta dapat dicontohi oleh penggiat industri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:14 PM
Hasnol membancuh air minuman, disaksikan oleh Dawn Liew ketika merasmikan prototaip mampu milik Old Town White Coffee Express di Skypark One City, USJ.  FOTO AZIAH AZMEE
Hasnol membancuh air minuman, disaksikan oleh Dawn Liew ketika merasmikan prototaip mampu milik Old Town White Coffee Express di Skypark One City, USJ. FOTO AZIAH AZMEE