Baharom Bakar


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan kegiatan mencampur minyak masak subsidi dengan minyak masak terpakai bagi mengaut keuntungan.

Difahamkan, sindiket terbabit bertindak membeli minyak masak paket dengan jumlah yang banyak sebelum dicampur dengan minyak masak terpakai lalu dijual kepada industri bio diesel pada harga RM4.50 sekilogram.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, kegiatan itu antara punca berlakunya kekurangan minyak masak paket di pasaran.

ROSOL (dua kanan), Maliaman (tiga kanan) dan Saharuddin (kiri) melihat barangan yang dijual di PJKM. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (dua kanan), Maliaman (tiga kanan) dan Saharuddin (kiri) melihat barangan yang dijual di PJKM. FOTO Baharom Bakar

Bagaimanapun, katanya, kekurangan minyak paket hanya berlaku di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

"Kegiatan menjual minyak masak campuran itu dilakukan satu sindiket dan bukannya pengeluar minyak masak paket bersubsidi.

"Pegawai dan anggota penguat kuasa sudah diarah melakukan siasatan dan mengambil tindakan ke atas sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Pusat Dagangan Ajil (ATC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, KPDNHEP akan bertindak tegas termasuk menggantung sementara lesen jika terdapat pembekal minyak masak yang melakukan kegiatan itu.

Katanya, bagi memastikan bekalan minyak masak paket tidak terjejas susulan tindakan menggantung lesen ke atas pengeluar yang bersekongkol, KPDNHEP bersedia menambah kuota pengeluaran kepada syarikat pengeluar lain.

"Selain kegiatan mencampurkan minyak masak paket dengan terpakai, KPDNHEP juga sedang menyiasat laporan pengeluar minyak masak paket menjual terus kepada pengusaha restoran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 3:03 PM