Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Mayat bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh dibawa dari Johor Bahru ke ibu kota untuk diuruskan di pusat pembakaran mayat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, hari ini.

Van membawa mayat mendiang bergerak dari Nirvana Memorial Center di Taman Nesa Skudai, 7.20 pagi ini dan dijangka tiba di pusat pembakaran mayat berkenaan pada 11.30 pagi.

Anak lelaki kepada mendiang, Sonuljit Singh, 32, mengesahkan mayat bapanya akan diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi.

"Mayat mendiang akan diuruskan secara 'cremation.'

"Ini kerana sudah lebih 40 tahun dia menetap di sana, membina karier dan bermain bola sepak di sana, jadi kesemua majlis akan diadakan di Kuala Lumpur," katanya.

Mendiang Serbegeth atau lebih dikenali Shebby Singh, 61, meninggal dunia ketika berbasikal di sekitar kawasan Sunway Iskandar, Iskandar Puteri, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu memulakan karier sebagai bola sepak tanah air sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke pasukan Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan dan Pahang sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak pada 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Faizal Wong Abdullah (kanan) bersama keluarga hadir upacara  penghormatan terakhir ke atas mendiang kawan baiknya Shebby. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Faizal Wong Abdullah (kanan) bersama keluarga hadir upacara penghormatan terakhir ke atas mendiang kawan baiknya Shebby. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 8:50 AM