Anak mendiang Shebby, Sonuljit Singh  ketika hadir menuntut mayat bapanya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Anak mendiang Shebby, Sonuljit Singh ketika hadir menuntut mayat bapanya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pemergian bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh disifatkan ahli keluarganya sebagai sesuatu yang mengejutkan berikutan mendiang sebelum ini sentiasa sihat.

Ahli keluarga terdekat mendiang, Sarjit Singh berkata, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kesihatannya baik.

Sarjit berkata, meskipun dia hanya sesekali bertemu dengan keluarga mendiang yang tinggal di Johor berikutan pandemik Covid-19, namun dia ada menghubungi Shebby beberapa hari lalu.

Menurutnya, dia sempat bertanya khabar dengan Shebby menerusi telefon dan mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan, hanya berbual seperti sebelumnya.

"Shebby sentiasa sihat sebelum ini. Ketiadaan mendiang suatu kehilangan besar bagi kami sekeluarga.

"Mendiang yang meninggalkan isteri dan dua anak akan dibawa ke Nirvana Memorial Center di Skudai pada petang ini dan seterusnya dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur pagi esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, anak mendiang, Sonuljit Singh, 32, berkata, keluarganya mengambil keputusan membawa mendiang ke Kuala Lumpur esok bagi urusan terakhir kerana bapanya sudah lama menetap di situ.

Menurutnya, sudah lebih 40 tahun mendiang bapanya menetap di Kuala Lumpur, membina kerjaya dan bermain bola sepak di ibu negara itu.

"Sudah lama bapa tinggal di situ, oleh itu kami sudah membuat keputusan untuk membawanya ke Kuala Lumpur bagi urusan terakhirnya.

"Bagaimanapun, kami berharap semua pihak dapat memberi kami ruang untuk mengharungi keadaan ini.

"Kami sekeluarga juga terharu dan berterima kasih atas segala penghormatan, kasih sayang ditunjukkan orang ramai terutama di media sosial," katanya.

Mendiang Shebby, 61, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang melakukan aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Sunway Iskandar, Iskandar Puteri sekitar jam 7.30 petang, semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi.

Shebby meninggal dunia pada usia 61 tahun pada petang semalam selepas jatuh pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal.

Beliau memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor sebelum berpindah ke pasukan Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan dan Pahang sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak pada 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 3:52 PM