Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Kali terakhir saya bertemu mendiang seminggu sebelum Krismas ketika dia menziarahi rumah saya di Kluang.

"Kami meluangkan masa berbual kisah lama dan ia menjadi kenangan yang tidak dapat saya lupakan," kata Faizal Wong Abdullah, 65, menceritakan detik akhir pertemuan dengan rakan baiknya, mendiang Serbegeth Singh atau lebih dikenali Shebby Singh.

Faizal Wong yang mengenali mendiang sejak berusia remaja menyifatkan mendiang seorang yang aktif, berhati murni, menepati masa, rajin serta sentiasa menghargai nilai persahabatan.

"Persahabatan kami bukan baru malah sejak 1975, keluarga mendiang menternak lembu dan mendiang selalu menghidangkan saya susu lembu ketika saya ke rumahnya.

"Malah, mendiang juga ke rumah saya dan kami menonton televisyen bersama kerana rumah mendiang ketika itu ketiadaan kemudahan elektrik. Mendiang memang meminati perlawanan bola sepak," katanya ketika ditemui di Nirvana Memorial Center di Skudai, hari ini.

Bercerita kisah lama bersama mendiang, Faizal Wong berkata, dia pernah bekerja bersama Shebby di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum mendiang menjadi pemain bola sepak Johor dan Kuala Lumpur.

"Pernah suatu ketika dulu mendiang dipelawa menjadi pengulas bagi program televisyen di India, namun mendiang ibunya tidak membenarkannya.

"Saya tidak dapat terima berita kematiannya kerana dia kelihatan sihat sepenuhnya. Semoga Shebby tenang di sana," katanya.

Mendiang Shebby, 61, dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti berbasikal di sekitar Sunway Iskandar, Iskandar Puteri, sekitar 7.30 petang, semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi.

Shebby meninggal dunia selepas jatuh pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal.

Mendiang memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor sebelum berpindah ke pasukan Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan dan Pahang sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak pada 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 8:31 PM
Kelihatan sahabat baik, Faizal Wong Abdullah (kiri) bersama keluarga hadir upacara  penghormatan terakhir ke atas mendiang kawan baiknya Shebby di Nirvana Memorial Center, Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kelihatan sahabat baik, Faizal Wong Abdullah (kiri) bersama keluarga hadir upacara penghormatan terakhir ke atas mendiang kawan baiknya Shebby di Nirvana Memorial Center, Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN