FANDI (kiri) mengakui Shebby begitu lantang dalam pasukan malah sering memberi kata-kata semangat supaya tidak gentar untuk menghadapi lawan yang lebih kuat. FOTO NSTP
FANDI (kiri) mengakui Shebby begitu lantang dalam pasukan malah sering memberi kata-kata semangat supaya tidak gentar untuk menghadapi lawan yang lebih kuat. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kunci kejayaan pasukan Kuala Lumpur dan Pahang pada era 80 dan 90 an banyak dibantu oleh karakter bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh sebagai 'jeneral' pasukan.

Situasi berkenaan didedahkan oleh teman baiknya yang juga rakan sepasukan Fandi Ahmad yang melihat karakter Serbegeth atau Shebby sebagai seorang pemimpin seterusnya mampu menyatukan pasukan ketika mengharungi perlawanan penting.

Fandi yang juga bekas pemain kebangsaan Singapura berkata, Shebby begitu lantang dalam pasukan malah sering memberi kata-kata semangat kepada pasukan supaya tidak gentar untuk menghadapi lawan yang lebih kuat.

Katanya, beliau bersama dengan Shebby bermain dalam dua pasukan sama iaitu Kuala Lumpur dan Pahang sekali gus menyebabkan hubungan mereka begitu akrab.

"Shebby seorang yang berterus terang iaitu akan menyatakan perkara yang sebenarnya apa terjadi di padang untuk kita perbaiki lagi kualiti permainan.

"Paling penting, apa jua keadaan beliau tetap dengan karakternya yang akan memberi semangat dan kritikan pedas bagi memastikan rakan sepasukan bermain bermati-matian.

"Saya banyak menghabiskan masa bersama dengannya kerana ketika itu kerana kami bermain dalam pasukan yang sama dalam tempoh yang lama," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pengkritik sukan tanah air dan juga bekas pemain bola itu meninggal dunia pada usia 61 tahun pada petang kelmarin selepas jatuh pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor.

Shebby dan Fandi antara tonggak utama ketika zaman kegemilangan Kuala Lumpur memenangi Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada 1987,1988 dan 1989 sebelum mereka beralih angin ke Pahang.

Ketika bersama di Pahang, kedua-dua pemain berkenaan muncul watak pentinga menjulang skuad Tok Gajah memenangi Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih pada 1992.

Sementara itu, Fandi berkata berita kehilangan rakan sepasukan itu cukup mengejutkan malah tidak mempercayai apabila diberitahu oleh rakan yang lain.

"Kali pertama saya mendengarnya memang tidak percaya dan berharap itu semua hanyalah khabar angin namun apabila sudah disahkan cukup menyedihkan kerana sudah beberapa tahun tidak bertemu dengan mendiang berikutan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:51 PM