Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki yang mengalami kerosakan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, semalam.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar di Pelabuhan Klang ditahan bot ronda APMM pada 3.20 petang di kedudukan 4.5 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seramai enam kru warga Indonesia berusia antara 25 hingga 52 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bagaimanapun nakhoda kapal didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan ketibaan di perairan negara ini.

"Tempoh kapal tangki berkenaan berlabuh masih dalam siasatan. Nakhoda dan ketua jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat APMM Johor untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

APMM menahan sebuah kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai. FOTO Ihsan APMM
APMM menahan sebuah kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai. FOTO Ihsan APMM

Nurul Hizam berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kami ingin menasihati semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan negara ini," katanya.

Bagi menyalurkan aduan berkaitan, orang ramai boleh menghubungi APMM Johor di talian 07- 219 9404 atau talian kecemasan MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:17 PM