KAPAL tangki yang berlabuh tanpa kebenaran. FOTO ihsan APMM
KAPAL tangki yang berlabuh tanpa kebenaran. FOTO ihsan APMM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor menahan kapal tangki berdaftar di Denmark yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur di sini, semalam. Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan di kedudukan 23.8 batu nautika timur Tanjung Gemoh pada 6.51 petang.

Beliau berkata, penahanan berlaku ketika anggota APMM melaksanakan rondaan rutin dan mengesan kapal tangki berukuran 183 meter bersauh di lokasi yang tidak dibenarkan.

Katanya, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan negara ini.

"Seorang daripada kru kapal yang dibawa ke darat menjalani saringan Covid-19 sebagai SOP dan masih menunggu keputusan.

"Kru berkenaan dibawa ke Unit Siasatan Zon Maritim Tanjung Sedili untuk membantu siasatan.

"Secara keseluruhannya terdapat 19 kru terdiri daripada warga Rusia, Filipina, India, Ukraine dan Romania.

"Mereka berusia dalam lingkungan 23 hingga 49 tahun serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Nurul Hizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Secara keseluruhannya sebanyak 42 buah kapal ditahan dalam OP Jangkar Haram dan menjadikan keseluruhan kes dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh Maritim Negeri Johor bagi tahun 2021 sehingga hari ini adalah sebanyak 62 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 1:31 PM