Hamzah Osman


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis mematahkan cubaan sindiket antarabangsa menyeludup masuk 97,500 karton rokok putih bernilai RM15.4 juta termasuk cukai menerusi Op Khas Aman di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, rokok putih terbabit ditemui selepas menahan bot pertukaran barang pada kedudukan 2.7 batu nautika di Barat Tanjung Belua, di sini, pada 4 pagi.

"Serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan yang dilakukan berterusan, khususnya di jalur sempadan perairan negara, selain kerjasama rapat dengan penguat kuasa negara jiran.

"Hasil pemeriksaan menemukan 1,950 kotak bungkusan mengandungi 19.5 juta batang rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup masuk dengan sebahagiannya menggunakan pelekat duti setem palsu," katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui 39 guni berisi tembakau yang dianggarkan bernilai RM780,000.

APMM Kedah dan Perlis mematahkan cubaan sindiket antarabangsa menyeludup masuk 97,500 karton rokok putih bernilai RM15.4 juta termasuk cukai menerusi Op Khas Aman di Tanjung Belua, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
APMM Kedah dan Perlis mematahkan cubaan sindiket antarabangsa menyeludup masuk 97,500 karton rokok putih bernilai RM15.4 juta termasuk cukai menerusi Op Khas Aman di Tanjung Belua, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN

"Nilai keseluruhan rampas termasuk bot pertukaran barang dianggarkan RM15,417,500 termasuk cukai kastam lebih kurang RM1.95 juta.

"Pada serbuan sama, tekong dan tujuh awak-awak bot, kesemuanya warga Indonesia berusia di antara 19 dan 55 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kes adalah penyeludupan barang terlarang dari Thailand untuk pasaran tempatan menggunakan pelekat duti setem palsu pada kotak rokok.

"Kami percaya aktiviti penyeludupan rokok dalam kapasiti besar seperti ini didalangi oleh sindiket antarabangsa yang turut membabitkan ejen darat dan laut dalam kalangan warga tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 49(1) dan 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba membawa masuk rokok seludup ke Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, kes itu adalah yang terbesar bagi APMM dalam tempoh tujuh tahun lalu, selepas kes rampasan rokok bernilai RM33 juta di Miri, Sarawak pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 4:28 PM