Muhamaad Razis Ismail


DALAM tempoh seminggu Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sekali lagi menggagalkan cubaan menyeludup rokok ke negeri ini di perairan negara semalam.

Dalam operasi 4.30 pagi itu, APMM merampas 400,000 batang rokok putih bernilai RM318,640 termasuk cukai dan sebuah lori.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

Pemangku Pengarah Maritim Kelantan Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, bot peronda Maritim yang sedang menjalankan operasi menerima maklumat intipan sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, bot itu menuju ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Apabila bot peronda sampai di lokasi kejadian kira-kira 0.1 batu nautika dari pesisiran Pantai Genting, bot itu melarikan diri.

“Selepas pemeriksaan di kawasan sekitar, kita menemui lori putih tanpa pemandu.

“Pemeriksaan lanjut menemui 400,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan hari ini.

Menurutnya, rokok dan lori itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Kelantan untuk disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Kita percaya rokok itu diseludup dari negara jiran dan bakal dipasarkan ke negeri selatan Semenanjung iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Siasatan lanjut akan dijalankan dan operasi berterusan untuk mengekang jenayah penyeludupan rokok,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan APMM berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 40,000 kotak rokok dianggarkan berjumlah RM240,000 menerusi jalan laut di lokasi 3.1 kilometer dari Kuala Tongkong, Tumpat minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 11:59 AM