KABEL elektrik yang dicuri. FOTO Ihsan polis.
KABEL elektrik yang dicuri. FOTO Ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Kes kecurian kabel elektrik di kawasan kilang Jalan Hi Tech 13, Zon Industri Fasa 3, Mukim Padang Cina di sini, kelmarin terbongkar susulan penahanan tiga lelaki, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kabel elektrik itu disedari hilang pada 9 malam, 8 Oktober lalu dengan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 40-an yang juga sub kontraktor untuk memasang kabel di kilang berkenaan.

"Kabel elektrik yang diletakkan di kawasan kilang terbabit didapati hilang dan disyaki dicuri kerana terdapat kesan potong.

"Berikutan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Kulim Hi Tech berjaya menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun di kawasan lorong Taman Lobak, di sini jam 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, susulan daripada itu, seorang lagi suspek berusia 53 tahun ditahan di lorong Taman Keranji, di sini, pada 1.30 pagi untuk membantu siasatan menjadikan jumlah tiga ditahan setakat ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek berusia 33 tahun adalah perancang utama dan pembeli kabel, malah mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah sebelum ini.

"Kita turut merampas dua longgok getah penebat kabel hitam daripadanya untuk membantu siasatan.

"Suspek kedua berusia 32 tahun itu pula berperanan sebagai pemotong dan curi kabel yang mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah," katanya.

Azhar berkata, suspek ketiga pula mempunyai dua rekod jenayah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan sebelum ini dan bertindak sebagai potong dan curi kabel.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, mereka dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu.

"Suspek dipercayai memotong 180 meter kabel di kawasan itu untuk dijual.

"Hasil siasatan juga mendapati, mereka disyaki menjual kabel yang dibuang getah penebat di kedai barang lusuh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya.

Azhar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti kedai dan mereka yang terbabit membeli kabel ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 12:58 PM