GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Farhani Che Ad


LELAKI berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Taman Mutiara Sungai Kob, Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek yang berasal dari Kampung Padang Limau, Karangan itu ditahan di tepi jalan berhampiran tapak perniagaan Taman Mutiara Sungai Kob ketika polis membuat rondaan cegah jenayah 8.15 malam tadi.

“Lelaki yang ditahan dalam keadaan mencurigakan itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kes kecurian kabel itu Oktober dua tahun lalu namun dia tidak mengaku terbabit.

“Bagaimanapun suspek mempunyai kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah, mencuri dan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu TM mengalami kerugian kira-kira RM10,000 akibat kehilangan kabel jenis UG FF 200 Pair sepanjang 250 meter.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 12:48 PM