Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sindiket pelacuran warga Afrika dikesan sering berpindah randah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas enam wanita warga Afrika ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen servis di Bukit Bintang, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya membuat serbuan di dua unit kediaman di tingkat 39 bangunan terbabit jam 10.30 malam tadi selepas empat bulan melakukan risikan.

Katanya, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima maklumat dari orang awam berhubung kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga Afrika di sekitar ibu kota ini pada tahun lalu.

"Dalam serbuan ini, kami menahan enam wanita warga Afrika terdiri daripada empat warga Tanzania dan dua warga Uganda berusia 20-an selain seorang lelaki tempatan serta tiga lelaki warga asing berusia 30-an yang juga pelanggan.

"Lima daripada mereka adalah penuntut di kolej swasta di Cheras dan Subang, manakala seorang lagi wanita masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, semalam.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket itu adalah secara mobil dengan menyewa satu kediaman mewah sebelum berpindah ke kediaman mewah lain.

ANTARA wanita warga Afrika yang ditahan. FOTO ASHRAF HAMZAH
ANTARA wanita warga Afrika yang ditahan. FOTO ASHRAF HAMZAH

"Sindiket ini amat licik kerana mereka menapis terlebih dahulu senarai pelanggan yang diterima melalui WeChat sebelum bersetuju memberikan khidmat seks pada harga antara RM500 hingga RM600 semalaman sebelum menjadi pelanggan tetap dengan meraih pendapatan bulanan antara RM6,000 hingga RM7,000.

"Malah, mereka menjalankan kegiatan itu dengan berpindah-randah dengan menyewa kediaman mewah bagi tempoh antara dua hingga tiga minggu. Sebagai contoh, unit kediaman di apartmen ini disewa antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya tidak ada menahan wanita warga Afrika yang terbabit dengan kegiatan pelacuran.

"Sepanjang tiga tahun saya menjadi Ketua Pengarah Imigresen, ini adalah kali pertama kami mengesan wanita warga Afrika yang terbabit dengan kegiatan pelacuran.

"Lazimnya bagi individu warga Afrika, mereka kebiasaannya ditahan kerana terbabit dalam kegiatan penipuan berbanding pelacuran," katanya.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan akan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa serta salah guna pas.

"Semua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di depoh tahanan sebelum diusir keluar dari Malaysia dan disenarai hitam dari memasuki negara ini seumur hidup.

"Selain itu, kami juga akan melakukan semakan rekod kehadiran mereka (suspek yang juga penuntut) di kolej berkenaan.

"Pada masa sama, kami akan menghubungi agensi berkaitan kemasukan penuntut antarabangsa bagi membincangkan syarat ketat dikenakan terhadap warga asing berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 8:54 AM