Antara yang ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat rawatan refleksologi malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Antara yang ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat rawatan refleksologi malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


SINDIKET pelacuran warga asing yang berselindung di sebalik pusat rawatan refleksologi terbongkar dalam serbuan di premis terbabit di Jalan PJS 8/2, Dataran Mentari, Petaling Jaya malam tadi.

Serbuan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu diketuai Inspektor Yap Ket Hua menerusi Operasi Noda (Op Noda) mulai 10.25 malam.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan lima wanita warga Vietnam dan Indonesia berusia lingkungan 20-an serta lelaki tempatan berusia 30-an yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Semakan mendapati premis itu tidak memiliki lesen. Difahamkan kegiatan pelacuran di premis terbabit dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu.

“Modus operandi sindiket itu adalah menawarkan harga antara RM170 hingga RM200 bagi setiap perkhidmatan seks kepada pelanggan yang datang secara ‘walk in’ ke premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, pihaknya turut merampas jadual kerja, telefon bimbit, lima kondom dan wang tunai RM525 dipercayai hasil kegiatan pelacuran.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(3) akta sama, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 2:21 PM