SALAH sebuah rumah di Kampung Opar, Bau yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas dilanda angin kencang petang semalam. FOTO ihsan PEMBACA
SALAH sebuah rumah di Kampung Opar, Bau yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas dilanda angin kencang petang semalam. FOTO ihsan PEMBACA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 28 penduduk daripada enam keluarga di Kampung Opar di Bau ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 petang itu, enam rumah mengalami kerosakan teruk apabila semua bumbung tercabut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Linggem berkata, empat lagi kediaman hanya mengalami sedikit kerosakan, namun penghuni turut melarikan diri ke tempat selamat berikutan angin kencang yang disertai hujan lebat dan petir.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.10 malam dan sepasukan lima anggota dari BBP Bau dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi didapati bumbung bertaburan di atas tanah dan anggota kami membantu mengalihkannya bagi memastikan keselamatan penduduk.

"Semua penghuni lima rumah yang tercabut bumbung itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Opar," katanya.

Tawang berkata, ketika ini, kerja-kerja pembersihan serta membaiki kerosakan bumbung rumah itu sedang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Noriah Ahmad berkata, PPS di Balai Raya Kampung Opar itu dibuka pada 9.10 malam tadi.

Beliau berkata, seramai 28 orang dipindahkan termasuk lapan warga emas dan seorang bayi.

"Selain tempat tidur, semua mangsa turut dibekalkan dengan keperluan seperti berus gigi, ubat gigi, sabun, tuala, selimut, kain batik serta kain pelikat.

"JKM turut menyediakan makanan yang dimasak kepada mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 1:44 PM