KEROSAKAN akibat angin kuat. FOTO ihsan pembaca
KEROSAKAN akibat angin kuat. FOTO ihsan pembaca
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kira-kira 40 unit rumah di Pangsapuri Taman Melati di ibu negara mengalami kerosakan bumbung akibat angin kencang dan hujan lebat petang tadi.

Blok yang terbabit adalah A13, A14, A15 dan A16 dengan jumlah kerosakan penuh masih lagi dalam anggaran pihak berwajib.

Pengarah Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, pihaknya mendapat maklumat menerusi media sosial mengenai kes bumbung tercabut di Taman Melati petang tadi.

Katanya, satu pasukan dikerahkan ke lokasi untuk memberi bantuan awal dan mengenal pasti kerosakan yang berlaku.

"Kita bergegas ke tempat kejadian dan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa.

"Rumah yang terjejas adalah di tingkat atas membabitkan empat blok, dan setakat 7.30 malam ini, kerosakan di lokasi masih dalam anggaran," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan berkata, setakat ini situasi di kawasan terbabit adalah terkawal dan tidak membabitkan kecederaan.

"Maklumat yang kita dapati ini akan kita salurkan untuk tindakan selanjutnya pihak berwajib seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Saya berharap supaya penghuni yang terbabit menjaga keselamatan diri dan merujuk kepada pihak berkuasa sekiranya ada apa-apa masalah berkaitan susulan kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 8:06 PM