GAMBAR hiasan. Sungai Perak, Kuala Kangsar. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Sungai Perak, Kuala Kangsar. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mengadakan perbincangan bersama syarikat dari Melaka untuk perkhidmatan bot persiaran sungai (river cruise) Sungai Perak bagi merancakkan aktiviti pelancongan daerah ini.

Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata, perkhidmatan 'river cruise' berkenaan akan bermula dari Jambatan Victoria di Karai dan berakhir di Dataran Lembah Sungai Perak, Pusat Bandar Kuala Kangsar.

Katanya, penyediaan perkhidmatan itu berpotensi mendapat sambutan menggalakkan apabila pelayaran bot akan melalui tiga jambatan iaitu Jambatan Sultan Abdul Jalil, selain dua jambatan ikonik yang menyimpan nilai sejarah iaitu Jambatan Victoria dan Jambatan Iskandar.

"Ada beberapa syarikat menunjukkan minat mengoperasikan perkhidmatan itu namun setakat ini MPKK sudah berbincang dengan sebuah syarikat dari Melaka yang mana dari segi pertambahan bilangan pelancong, kita jangkakan ianya sama juga seperti (perkhidmatan bot persiaran) di Melaka.

"Walaupun perkhidmatan itu akan dikendalikan oleh syarikat swasta terbabit namun di pihak MPKK akan membantu dengan mengenal pasti jeti yang sesuai selain melakukan usaha menaiktaraf jeti untuk perkhidmatan ini," katanya.

Jambatan Victoria menyimpan nilai sejarah sebagai jambatan kereta api tertua di Malaysia, manakala Jambatan Iskandar yang terletak berhampiran turut menyaksikan detik sejarah apabila kedua-dua jambatan itu pernah musnah dibom tentera British dalam usaha menyekat kemaraan tentera Jepun pada Disember 1941.

Zulqarnain berkata, struktur pembinaan Jambatan Iskandar yang sebahagian besarnya dibuat dari logam keluli turut menjadi nilai tambah serta keistimewaan kerana menjadi jambatan keluli terpanjang di Malaysia.

Malah menurutnya, jika Menara Eiffel di kota Paris, Perancis yang sebahagian besarnya juga dibina menggunakan keluli adalah sepanjang kira-kira 300 meter secara menegak, maka Jambatan Iskandar pula hampir menyamainya apabila dibina (kira-kira) 300 meter mendatar.

Beliau berkata, pembinaan trek berbasikal di kedu-dua belah Sungai Perak sepanjang laluan pelayaran terbabit yang sedang dalam proses peninjauan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dijangka merancakkan pelancongan kawasan berkenaan.

"Mereka yang menaiki 'river cruise' ini, boleh menikmati pemandangan dekat dari tengah sungai di samping penunggang basikal yang akan turut bepeluang melalui trek di bawah tiga jambatan itu, bagi membolehkan mereka menghayati seni bina dan kejuruteraan jambatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:27 PM