ANTARA penduduk yang hadir untuk mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 di Kepala Batas, semalam. FOTO Danial Saad
ANTARA penduduk yang hadir untuk mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 di Kepala Batas, semalam. FOTO Danial Saad
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 6.1 juta individu atau 26.1 peratus daripada populasi dewasa negara sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu hampir 200,000 lagi dos penggalak diberikan semalam, menjadikan yang tertinggi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak dilaksanakan bermula 13 Oktober lalu.

"Pencapaian harian tertinggi PICK-Booster.

"Pengurangan sela masa dan penambahan PPV walk-in (Pusat Pemberian Vaksin secara terus tanpa janji temu) telah meningkatkan program booster (penggalak)," katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mengambil dos penggalak masing-masing bagi meningkatkan tahap imun badan dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

"Dos penggalak sangat penting untuk mengekang gelombang varian Omicron," katanya.

Menerusi data infografik dikongsi bersama ciapan berkenaan, 197,121 individu menerima suntikan dos penggalak, semalam menjadikan jumlah kumulatif mencecah 6,109,673 individu, setakat 11.59 malam tadi.

Selain itu, seramai 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin Covid-19 manakala 23,148,776 (98.9 peratus) individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:53 PM