IPD Daerah Bentong akan siasat keluhan yang ditularkan oleh orang awam terhadap Kaunter Aduan Khas, PDRM, di Medan Selera Karak  yang ditularkan oleh orang awam. FOTO Tula
IPD Daerah Bentong akan siasat keluhan yang ditularkan oleh orang awam terhadap Kaunter Aduan Khas, PDRM, di Medan Selera Karak yang ditularkan oleh orang awam. FOTO Tula
Roselan Ab Malek


Bentong: Polis menyiasat keluhan tidak puas hati orang awam terhadap petugas Kaunter Aduan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Medan Selera Karak, di sini, yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh semua mangsa banjir luar jangka yang melanda daerah Bentong, baru-baru ini.

Katanya, insiden yang berlaku di luar kawalan PDRM disebabkan sikap segelintir petugas yang mungkin terbawa-bawa emosi dalam menangani keluhan dan kesusahan yang menimpa orang ramai.

"Insiden yang tular semalam berkaitan luahan dan kekecewaan di kaunter aduan khas Medan Selera Karak akan disiasat sepenuhnya dan tindakan yang bersesuaian akan diambil ke atas petugas terbabit.

"PDRM khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya memohon kerjasama individu yang terbabit dalam insiden berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222.

Katanya, IPD Bentong tutur membuka enam kaunter aduan khas di enam lokasi dan sehingga kini sebanyak 3,107 laporan polis secara manual sudah diterima.

Lokasi kaunter aduan khas PDRM adalah di Medan Selera Karak, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Arena Bentong, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak dan PPS SMK Karak Setia.

Selain itu, PPS Dewan Bukit Piatu, PPS Dewan Bukit Dinding dan PPS Pascorp Paper Setia.

Semalam, tular di Twitter mendakwa kaunter aduan khas berkenaan kosong kerana petugas dikatakan pergi bersarapan.

Difahamkan, kaunter berkenaan sepatutnya dibuka pada 8 pagi dan orang ramai sudah sedia menunggu tetapi anggota polis didakwa tiba lewat berbanding jadual ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 2:00 PM