GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Shahrul Nizam Mohamad


Bentong: Tiga penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng parah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 78.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Plaza Tol Karak, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi, mangsa penunggang motosikal Honda EX5, R Vijayan, 20, berasal dari Kampung Baru Karak, di sini; penunggang Yamaha 125Z, Muhammad Faiz Ahmad Fuzi, 19, dari Perumahan Ladang Krau, di sini; dan K Arvin, 25, juga penunggang Yamaha 125Z berasal dari Taman Desa Damai, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan S Somu berkata, semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa yang parah pembonceng motosikal bersama Arvin iaitu S Ganesh, 21, juga berasal dari Taman Desa Damai patah kedua-dua kaki dan dikejarkan ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian Vijayan yang menunggang motosikal menghala ke Kuantan dari Bentong terjatuh secara tiba-tiba.

Menurutnya, pada masa sama, Arvin dan Ganesh yang kebetulan berada di seberang jalan bergegas untuk melihat keadaan Vijayan namun mereka dilanggar pula motosikal ditunggang Muhammad Faiz.

"Polis masih meneruskan siasatan kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 8:52 AM