Keadaan kawasan kebakaran Kampung Baru Karak yang membabitkan 51 buah rumah dan lapan rumah kedai. FOTOFARIZUL HAFIZ AWANG
Keadaan kawasan kebakaran Kampung Baru Karak yang membabitkan 51 buah rumah dan lapan rumah kedai. FOTOFARIZUL HAFIZ AWANG
Nor Azizah Mokhtar


Bentong: Kerajaan Negeri Pahang akan menentukan bentuk bantuan yang boleh disalurkan segera untuk 51 keluarga dan 11 pemilik kedai niaga yang musnah terbakar dalam kebakaran di Kampung Baru, Karak, di sini, malam tadi.

Kesemua 51 keluarga terdiri daripada 168 individu diletakkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Kebakaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Karak sejak malam tadi yang terletak 100 meter daripada perkampungan yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahim Muda memaklumkan beliau mewakili Menteri Besar turun padang meninjau keadaan mangsa kebakaran kampung terbabit, semalam.

Kata beliau, Pegawai Daerah Pejabat Tanah dan Galian Bentong, Datuk Zulkifli Hashim dipertanggungjawabkan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera untuk membantu kesemua keluarga yang terjejas.

"Kita mengarahkan pegawai daerah untuk bertindak segera membantu semua mangsa dengan bantuan awal sudah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat masa ini.

"Saya juga meminta supaya nama dan butiran semua keluarga yang terjejas supaya dikumpul segera kepada mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Besar Pahang untuk membincangkan bentuk bantuan susulan yang boleh disediakan kepada mangsa.

"Sudah pasti peruntukan kewangan akan menyusul, cuma jumlahnya kita tak pasti, itu akan dibincang dan ditentukan Menteri Besar nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan SJKC Karak, hari ini.

Menurut Abd Rahim, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Bomba Pahang bahawa jentera bomba bertindak segera tiba ke lokasi dan mengawal kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan teruk harta benda penduduk.

"Difahamkan rumah penduduk yang terbakar ada yang berusia lebih 60 tahun dan 50 peratus daripadanya adalah berpapan menyebabkan kebakaran muda berlaku sehingga api merebak dengan pantas dan membawa kemusnahan harta benda yang banyak.

"Justeru, kita seru semua pemilik perumahan lama di sini sentiasa memeriksa sistem pendawaian elektrik di rumah lama mereka secara berkala," katanya.

Ditanya dakwaan penduduk bahawa tekanan air yang rendah di lokasi kejadian menyukarkan pasukan bomba memadamkan kebakaran, beliau memaklumkan bahawa usia perumahan yang lebih 60 tahun dan sistem paip yang lama yang mungkin tersumbat memaksa bomba mengambil masa yang lama untuk mengawal kebakaran.

Bagaimanapun katanya pihaknya akan meneliti perkara itu dan meminta Pejabat Tanah Bentong, Majlis Daerah Bentong dan juga pihak bomba mengenal pasti kawasan-kawasan perumahan yang berisiko tekanan air rendah.

"Kita juga mahu semua sistem paip perumahan lama sebegini diperiksa secara berkala lebih kerap selepas ini mengelak insiden sama berulang," kata beliau.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, semua mangsa akan menumpang sementara di rumah keluarga atau saudara terdekat buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 10:10 PM