Penghuni yang mahu dikenali "Mark" membersihkan rumahnya yang telah dihiasi untuk sambutan Hari Krismas berselerak dan mengalami kemusnahan harta benda di Taman Sri Muda. FOTO OSMAN ADNAN
Penghuni yang mahu dikenali "Mark" membersihkan rumahnya yang telah dihiasi untuk sambutan Hari Krismas berselerak dan mengalami kemusnahan harta benda di Taman Sri Muda. FOTO OSMAN ADNAN
BERNAMA

Shah Alam: Seminggu selepas kejadian banjir yang menimpa Taman Sri Muda, di sini, kini keadaan semakin pulih apabila air tidak lagi bergenang di kawasan terjejas malah cuaca cerah turut menerangi penempatan yang terletak dekat Seksyen 25 itu.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi perumahan yang dilanda banjir sebelum ini, mendapati ramai penduduk mula mencuci kediaman mereka yang terkesan susulan kejadian bencana itu pada Sabtu lalu.

Kelihatan masing-masing bersama keluarga sibuk membersihkan halaman rumah, mencuci perabot, mengumpul barangan keperluan yang masih boleh digunakan serta membuang barangan rosak akibat banjir.

Sungguhpun begitu, rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa syukur kerana dapat pulang semula ke rumah dan meneruskan kehidupan mereka dengan harapan tragedi seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.

Seorang penduduk di Taman Sri Muda 2, Azli Mohd Yusof, 43, berkata, kejadian banjir itu kali pertama dialaminya sejak menetap di kawasan perumahan ini 10 tahun lalu, namun bersyukur kesemua ahli keluarganya terselamat daripada sebarang perkara tidak diingini.

"Alhamdulillah. Keadaan sudah semakin baik dan kami sekeluarga pun telah pulang ke rumah semalam selepas dibenarkan pihak berkuasa. Sekarang agak sibuk untuk membersihkan rumah," kata bapa kepada empat anak itu.

L Banathan, 42, yang menetap di kawasan perumahan dekat Jalan Amanah di Taman Sri Muda pula pasrah dengan nasib yang menimpa susulan bencana itu, bagaimanapun dia gembira apabila keadaan beransur pulih.

"Cuma saya harapkan lebih ramai yang sudi bantu menyumbangkan tenaga untuk cuci rumah kami yang terjejas termasuk banyak juga longgokan sampah di kawasan persekitaran ini," katanya.

Selain itu, pemerhatian Bernama turut mendapati peniaga bersama pekerja di pusat komersial berdekatan Plaza Taman Sri Muda mula membersihkan premis perniagaan mereka yang terjejas akibat banjir.

Seorang pemilik kedai barangan elektronik yang tidak mahu dikenali meluahkan rasa sedih berikutan banyak produk jualannya rosak sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

"Tetapi hendak buat macam mana, benda sudah jadi. Kita (peniaga) harap supaya kerajaan akan pertimbangkan inisiatif tambahan lagi kepada mangsa banjir sebab sekarang ini susah mahu bertahan," kata lelaki berusia 39 tahun itu.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Hussein Omar Khan berkata, keadaan banjir di Taman Sri Muda semakin pulih dan air juga sudah surut di setiap kawasan terjejas banjir itu.

Justeru, katanya, ketika ini penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk menjalankan kerja pembersihan namun pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi bagi memberi ruang kepada mangsa untuk berada di PPS sehingga mereka selesai membersihkan rumah.

"Ada yang sudah mendiami rumah mereka tetapi mengikut keadaan rumah masing-masing, ada juga sebahagian yang berlindung di PPS kerana di PPS ada penyediaan makanan, rawatan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut berkata, kerja pembersihan giat dijalankan di kesemua kawasan terjejas yang membabitkan petugas daripada pelbagai agensi berkaitan antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuklah badan bukan kerajaan serta sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 5:55 PM