PATUNG sumo di salah satu pagar acara ekuestrian. FOTO Agensi
PATUNG sumo di salah satu pagar acara ekuestrian. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Beberapa ekor kuda yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 'kurang senang' dengan patung sumo yang berdiri gagah di tepi salah satu pagar, menurut atlet ekuestrian.

Tiada seekor pun daripada kuda yang beraksi di pusingan kelayakan pernah melihat pemandangan seperti di pagar nombor 10 yang terdapat patung gergasi atlet sumo.

Setiap pagar dalam acara ekuestrian dihiasi dengan hasil seni menggambarkan kebudayaan Jepun namun patung sumo terbabit menimbulkan masalah kepada kuda yang mengambil bahagian.

Penunggang Britain, Harry Charles berkata: "Anda boleh melihat 'lelaki' gergasi itu.

Atlet Ireland, Cian O'Connor menambah: "Banyak yang boleh dilihat' manakala Teddy Vlock menganggapnya sangat realistik.

Tetapi beberapa peserta lain berkata patung sumo itu menjejaskan tumpuan kuda mereka selepas gagal meraih mata untuk layak ke final.

Charles berkata: "Saya nampak empat atau lima ekor kuda seperti takut apabila menghampiri pagar itu.''

Antararanya kuda milik penunggang Perancis, Penelope Leprevost yang menjuarai acara 'team jumping' pada 2016.

Namun dia tidak pasti patung itu menakutkan kudanya yang berusia 12 tahun, Vancouver de Lanlore.

Ketika ditanya, dia menjawab: "Mungkin. Kami cuba menenangkannya, mungkin kuda saya terkejut melihat patung itu dari jarak dekat. Saya tak tahu.''

Vlock pula berkata: "Ia nampak seperti manusia sebenar, agak menakutkan. Anda tahu kuda tidak mahu bertemu orang seperti itu dekat dengan pagar, seperti mahu bergaduh dengan anda."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 9:20 AM