FUAD bersama hadiah wang tunai dan trofi dimenanginya pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu di Lembah Bidong. — FOTO Rozainah Zakaria
FUAD bersama hadiah wang tunai dan trofi dimenanginya pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu di Lembah Bidong. — FOTO Rozainah Zakaria
Nurul Fatihah Sulaini


CUACA panas terik sepanjang Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu tidak menjadi halangan buat atlet kuda lasak negara, Mohammad Fuad Hashim beraksi cemerlang sekali gus merampas kembali gelaran juara kejohanan.

Fuad dari pasukan State Terengganu Endurance Team (STET), bagaimanapun mengakui, cuaca panas kali ini agak mencabar dan dia terpaksa beberapa kali memperlahankan pergerakan kerana lebih mengutamakan keadaan kudanya, Mora Makaka bagi mengelak sebarang kecederaan.

Fuad, 29, muncul juara apabila menamatkan acara 120km itu dengan catatan masa tujuh jam 24 minit 21 saat, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, piala pusingan, plak iringan, pingat dan jaket.

“Ini kemenangan ketiga saya pada kejohanan ini selepas kali pertama memenanginya tiga tahun lalu dan tahun lalu juara berpihak kepada Azizatul Asma Abdullah kerana kuda saya cedera.

“Saya kini dalam proses persiapan untuk menyertai Piala Sultan Mizan pada Oktober depan dengan menjalani latihan berkala selang sehari,” katanya.

Tempat kedua disandang Mohd Yunus Abdullah dari pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dengan catatan masa 8’09:51 sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,500, plak, pingat dan jaket.

Majlis itu disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, hari ini.

Dalam pada itu, kuda Mora Makaka yang ditunggangi Fuad dipilih sebagai kuda terbaik sekali gus membolot hadiah wang tunai RM5,000, plak dan buah-buahan.

Kategori berpasukan pula dimenangi RTES diwakili Che Mat Din, Yunus, Jasryn Jaffly, Mohd Bulkhari Rozali dan Dr Ahmaf Naqib dengan catatan masa 25’20:32, sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,500, plak iringan dan pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 12:47 PM