ORANG ramai melihat air banjir  berikutan jalan utama Kuala Krai yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ORANG ramai melihat air banjir berikutan jalan utama Kuala Krai yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


Jeli: Perantau dinasihatkan agar merujuk portal rasmi untuk semakan awal dan mendapatkan maklumat perjalanan sama ada untuk masuk atau keluar dari negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rujukan itu sangat penting bagi memastikan perjalanan yang dilakukan selamat dan mengelakkan mana-mana lokasi berisiko serta berbahaya dilalui.

Katanya, orang ramai perlu mengabaikan maklumat yang ditularkan tanpa kesahihan kerana ada di antaranya tidak berasas dan sekadar menimbulkan kebimbangan awam.

"Portal rasmi yang disediakan agensi berwajib sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan banjir yang memudahkan perantau membuat semakan perjalanan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan menerusi portal rasmi itu yang merangkumi keseluruhan maklumat termasuk mana-mana jalan yang ditutup atau kenaikan paras air," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, sempena lawatan rasmi.

Shafien berkata, dalam pada perkembangan banjir yang menunjukkan peningkatan di negeri ini, beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih menitikberatkan keselamatan terutama kawalan terhadap anak daripada menjadikan banjir seperti pesta.

Katanya, memandangkan setiap tahun ada kes membabitkan lemas ketika banjir, tragedi sebegitu seharusnya menjadi pengajaran seterusnya mengelakkan daripada berulang.

"Budaya bermain air beramai-ramai perlu dihentikan kerana dibimbangi berlaku tragedi buruk lagipun kita sekarang masih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 yang masih perlukan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Terdahulu beliau turut meluangkan masa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jeli (1) yang menempatkan 32 mangsa membabitkan sembilan keluarga.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin dan Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud.

Dalam perkembangan banjir di negeri ini lagi, Shafien berkata, sebuah balai polis di Rantau Panjang yang terletak tidak jauh dari Sungai Golok sudah dinaiki air.

Menurutnya, dua lagi balai polis iaitu di Kuala Jambu dan Simpangan, Tumpat kemungkinan besar akan menyusul terjejas banjir seperti kelaziman musim banjir.

"Saya sudah mengarahkan semua ketua polis daerah serta ketua polis balai terutama di kawasan yang berisiko terjejas banjir agar membuat persediaan lebih awal untuk bertindak dan bukannya menunggu apabila situasi sudah menjadi tidak terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 5:31 PM