PENEMUAN empat terowong dipercayai dibina sebelum Perang Dunia Kedua sedia dibuka kepada umum. FOTO Zaman Huri Isa
PENEMUAN empat terowong dipercayai dibina sebelum Perang Dunia Kedua sedia dibuka kepada umum. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Rohana Idris


PENEMUAN empat terowong perlombongan emas dipercayai dibina pada 1931 oleh pelombong dari Perancis di Kampung Kalai, Jeli, sedia dibuka kepada umum.

Dua terowong yang dibina berjarak 15 meter (m), 85m dan paling panjang adalah 94m ditemui pada 1990 oleh penduduk kampung namun ketika itu masih belum diteroka dan dibuat kajian.

Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud, berkata, terowong yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua itu adalah untuk melombong mineral emas oleh pendatang dari Perancis dan beroperasi selama 15 tahun.

“Selepas itu ia mungkin digunakan tentera komunis dan dijadikan laluan keluar masuk memandangkan lokasinya yang hanya 200m sahaja bersempadan dengan Thailand.

TEROWONG dibuka pelombong dari Perancis dan beroperasi selama 15 tahun kini dibuka untuk kunjungan.
TEROWONG dibuka pelombong dari Perancis dan beroperasi selama 15 tahun kini dibuka untuk kunjungan.

“Setakat ini hanya empat terowong ditemui tapi kami percaya mungkin ada lagi yang dibina memandangkan geografi di kawasan ini yang berbukit serta dilitupi hutan,” katanya kepada pemberita di Jeli, kelmarin.

Nik Raisnan berkata, terowong itu dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri khazanah dengan syarat diiringi penduduk kampung sebagai jurupandu bagi menyaksikan sendiri seni bina yang mengagumkan kerana binaanya yang rapi dan masih utuh sehingga kini meskipun tiada peralatan canggih.

Katanya lagi, penemuan terowong itu adalah khazanah untuk rakyat Jeli khasnya dan pihaknya akan cuba memeliharanya untuk dijadikan tarikan kepada produk pelancongan.

“Kita akan tambah baik kemudahan mungkin dari segi laluan untuk ke sini dan saya meminta pihak berkuasa dan rakyat menjaga kawasan ini dari diceroboh,” katanya yang turut mengambil peluang masuk sendiri ke semua terowong terbabit.

Keadaan dalam terowong bekas tapak lombong emas itu gelap dan mempunyai aliran air di dalamnya manakala empat terowong itu terletak tidak jauh antara satu sama lain.

Orang ramai dinasihatkan agar memakai but dan membawa lampu suluh supaya dapat melihat lebih jelas keadaan di dalamnya termasuk struktur binaan yang tidak menggunakan sebarang sokongan tapi sangat rapi hasilnya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kalai, Shah Fakrimee Sallah berkata, terowong itu sudah hampir 30 tahun ditemui, tapi ketika itu tiada maklumat diperoleh.

“Ada dua penduduk asal Kampung Kalai yang sempat ditanyakan berhubung terowong ini dan seorang daripada mereka memberitahu ia pernah dijadikan laluan menghantar emas atau makanan dari sini ke Thailand,” katanya.

KEADAAN terowong yang gelap dan mempunyai aliran air.
KEADAAN terowong yang gelap dan mempunyai aliran air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:35 AM