FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Sebahagian besar kes perceraian direkodkan di Negeri Sembilan dikenal pasti berpunca kegagalan dan keengganan suami memberikan nafkah kepada isteri.

Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS), Datuk Abas Nordin, berkata, banyak faktor yang menjadi punca berlakunya kes penceraian namun kegagalan suami menyempurnakan tanggungjawab memberikan nafkah mencatatkan kes lebih tinggi iaitu sekitar 70 peratus.

"Ini terbukti melalui statistik pendaftaran kes penceraian direkodkan di Negeri Sembilan berdasarkan 2,600 kes penceraian direkodkan bagi tempoh enam tahun antara 2016 hingga 2021.

"Tidak semua perkahwinan yang berjaya, ada yang dilanda badai dan berakhir dengan perceraian," katanya selepas Program Karnival Literasi Undang-undang Syariah 2021, di Perkarangan Balai Undang Luak Johol di sini, tadi.

Majlis disempurnakan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.

Mengulas lanjut, Abas berkata, faktor kewangan dan masalah pendapatan suami itu sendiri selain perselisihan rumah tangga berkaitan nafkah menjadi punca suami tidak memberikan nafkah kepada isteri.

Beliau berkata, kesungguhan suami itu perlu walaupun diberhentikan kerja atau cuti tanpa gaji dengan mencari pendapatan lain.

Katanya, sebagai contoh ada suami yang bekerja jurutera tetapi melakukan kerja menjual ikan untuk tambah pendapatan.

"Ini menunjukkan kesungguhan suami itu untuk mencari alternatif lain dan berusaha mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.

"Masalah penceraian yang boleh memberikan kesan kepada institusi keluarga perlu dibendung supaya masalah rumah tangga dapat diatasi seterusnya membantu mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan negara yang makmur, aman serta harmoni," katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Abas berkata, program seperti ini bertujuan memberi maklumat dan kesedaran kepada orang ramai supaya celik undang-undang syariah, khususnya mengenai kepentingan dan tanggungjawab terhadap pemberian nafkah dan kesannya.

"Program seumpama ini juga dapat membantu memberikan kefahaman kepada orang ramai

khususnya golongan wanita dan yang kurang faham menggunakan undang-undang syariah

dalam menyelesaikan masalah rumah tangga," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abas berkata, JKSNS dalam usaha untuk menubuhkan Mahkamah Utama serta Mahkamah Khas Hadhanah dan Nafkah Anak.

Menurutnya ia adalah salah satu langkah bagi meningkatkan hierarki Mahkamah Syariah di

Negeri Sembilan.

"Ia penting bagi menangani kes-kes hadhanah dan nafkah agar dapat diselesaikan dengan kadar segera untuk kepentingan masyarakat," katanya.

Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah (baju hijau tengah) bersama pegawai JKSNS pada Program Karnival Literasi Undang-undang Syariah 2021, di Perkarangan Balai Undang Luak Johol, Kuala Pilah hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.
Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah (baju hijau tengah) bersama pegawai JKSNS pada Program Karnival Literasi Undang-undang Syariah 2021, di Perkarangan Balai Undang Luak Johol, Kuala Pilah hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 4:09 PM