TUANKU Muhriz berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan (aNSar). FOTO Iqmal Haqim Rosman.
TUANKU Muhriz berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan (aNSar). FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Raja Noraina Raja Rahim


MAHKAMAH Syariah Negeri Sembilan merekodkan 5,551 pendaftaran kes merangkumi cerai, tuntutan, faraid dan jenayah sejak Januari hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Abas Nordin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,171 atau 57 peratus kes berjaya diselesaikan.

Katanya, pihaknya menjangkakan jumlah kes akan meningkat lebih tinggi menjelang hujung tahun, berbanding 2018 yang merekodkan 7,000 kes dengan 59 peratus berjaya diselesaikan.

“Berdasarkan trend peningkatan, kita menjangkakan pada tahun ini jumlah kes akan meningkat kepada 8,000 kes sehingga 31 Disember kelak.

“Daripada satu kes cerai, akan timbul pula kes lain termasuk tuntutan edah, tuntutan nafkah anak, mutaah, hak penjagaan anak dan harta sepencarian.

“Hal ini menyumbang kepada faktor pertambahan kes selain daripada kes jenayah dan faraid,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan (aNSar) di Seremban, hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan majlis perasmian itu.

Turut berkenan berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad dan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan (PGSMNS), Datuk Hanif Hassan.

Mengulas lanjut Abas berkata, kekurangan hakim turut menjadi faktor banyak kes tidak dapat diselesaikan dan berikutan itu, pihaknya memohon menambah hakim.

“Kita sudah menghantar permohonan menambah hakim kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Apabila kita dapat pertambahan nanti, kita yakin lebih banyak kes dapat diselesaikan.

“Malah, kita juga mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mewujudkan mahkamah khas hadanah, nafkah dan penguatkuasaan seperti dilaksanakan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) bertujuan mempercepatkan proses penyelesaian kes,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin ketika mengulas mengenai majlis berkata, aNSar diwujudkan hasil idea Tuanku Muhriz bagi memberi bantuan guaman kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan dengan sifar bayaran yuran guaman.

“Ini menunjukkan keprihatinan baginda terhadap rakyat negeri ini. Diharap peguam syarie terbabit dapat memberikan khidmat terbaik agar aNSar mencapai objektifnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 1:04 PM