Noraini ketika ditemui di gerai perniagaannya. FOTO EKHWAN Haque Fazlul Haque
Noraini ketika ditemui di gerai perniagaannya. FOTO EKHWAN Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Semenyih: Pencemaran air sungai terus menghantui penduduk Selangor apabila ia sekali lagi berlaku hari ini.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan tugas berikutan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.

Keadaan ini menyebabkan jutaan pengguna terjejas manakala aktiviti harian dan perniagaan juga terkesan disebabkan kerakusan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi peniaga di Kampung Sungai Jai, di sini, Noraini Mohd Salleh, 46, masalah pencemaran air seakan tidak berkesudahan khususnya bagi negeri ini.

Katanya, sebagai peniaga makanan, bekalan air bersih amat penting untuk dia meneruskan perniagaan yang dijalankan sejak 17 tahun lalu.

"Saya begitu memerlukan air bukan sahaja untuk aktiviti harian seperti memasak dan membersihkan diri malah ia juga digunakan bagi berniaga.

"Bekalan air bersih digunakan untuk membersihkan bahan mentah jualan dan ketiadaan air menyebabkan saya perlu mendapatkan bekalan air bersih lebih banyak," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd Shafie, 54, dia perlu membeli air mineral untuk minum dan memasak buat sementara waktu.

Katanya, penduduk terkilan kerana masalah sama pasti berlaku setiap tahun walaupun pelbagai inisiatif dan tindakan dijalankan pihak berkuasa.

"Diharap masalah ini dapat diatasi segera kerana tiada alternatif lain jika bekalan air terputus kerana kawasan sekitar juga menerima nasib sama," katanya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, Lembaga Urus Air Selangor sedang bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar kawasan itu.

Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Wilayah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:04 PM