GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Seramai 32 penuntut dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini dikesan positif Covid-19 kelmarin membabitkan kluster Intan Delima 2.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, semua penuntut dan pensyarah terbabit sudah dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Manakala seramai 105 lagi individu kontak rapat dikuarantin di institusi berkenaan sementara menunggu keputusan saringan Covid-19," katanya tadi.

Mohd Faizal berkata, situasi ketika ini terkawal malah pihaknya sudah melakukan kawalan secara pentadbiran bermula kelmarin bagi mengelakkan penularan wabak itu.

"Pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi bertanggungjawab akan membuat pemantauan di lokasi dan tindakan kompaun akan dikenakan jika terdapat pihak yang ingkar," katanya.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan pertambahan satu kluster baharu membabitkan Kluster Intan Delima 2 di Kuala Pilah, menjadikan 11 kluster (tempatan) yang masih belum diisytiharkan tamat di negeri ini.

11 kluster lain adalah Industri Sungai Gemas; Industri Tiong; Jalan Seremban Tiga; Dataran Satria Dua; Tekir; Kepis Senaling; Jalan Putra Nilai; Jalan Bukit Rasah; Jalan Bandar Sri Serting; Intan Delima 2 dan Jalan Hutton.

Terdapat 181 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 108,958 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 sebanyak 1,277.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 5:35 PM