FADILLAH memberi ucapan pada majlis taklimat rancangan tebatan banjir Sarawak (Kota Samarahan) di Auditorium Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak. FOTO BERNAMA
FADILLAH memberi ucapan pada majlis taklimat rancangan tebatan banjir Sarawak (Kota Samarahan) di Auditorium Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Samarahan: Kerajaan akan mempercepat pembinaan projek tebatan banjir dan naik taraf sistem perparitan di bandar ini yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata projek bernilai RM30 juta itu akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Beliau berkata ia perlu dipercepat bagi mengatasi masalah banjir di sini terutama di kawasan perumahan Taman Uni Garden, Taman Samarindah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tuang jika berlaku hujan berpanjangan.

"Segala perancangan ini kita akan laksanakan pada tahun depan. Itu matlamat dan harapan mereka (penduduk), juga supaya kita akan dapat memastikan peruntukan ini dan lantikan kontraktor serta konsultan akan dipercepat.

" ...sama ada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, ini harapan penduduk di sini. Insya-Allah, saya datang ke sini untuk memberi komitmen kepada mereka dan saya akan membawa harapan mereka ini ke peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Rancangan Tebatan Banjir Kota Samarahan di Auditorium JPS Bahagian Samarahan hari ini.

Beliau berkata JPS akan mendapatkan pemilikan 6.8 hektar tanah untuk dijadikan kolam tadahan bagi mengawal limpahan air ketika hujan lebat di Taman Samarindah dan SK Muara Tuang.

"Projek ini akan membabitkan pembinaan kolam di Taman Samarindah dan SK Muara Tuang sebagai tempat limpahan air hujan manakala di kawasan Taman Uni Garden lebih kepada projek pembesaran perparitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:16 PM