AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menetapkan syarat ketat kepada setiap pemaju yang melaksanakan projek pembangunan di negeri ini, sebagai langkah menangani masalah banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara syarat itu termasuk mereka bentuk dan membina sistem saliran perparitan dengan mengambil kira kadar taburan hujan semasa yang tertinggi.

Katanya, pemaju juga diwajibkan untuk menyediakan lebih banyak benteng penahan air atau 'Onsite Stormwater Detention' (OSD) bagi mengawal kadar aliran air di satu-satu taman perumahan.

"Selain itu, pemaju juga perlu menaik taraf sistem perparitan lama yang tidak mampu menampung kadar aliran air di kawasan kerap berlaku banjir kilat.

"Penguraian sistem perparitan terutama di kawasan kerap berlaku banjir kilat supaya aliran keluar tidak tertumpu kepada sesuatu kawasan sahaja juga perlu dilaksanakan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu jumlah banjir kilat yang berlaku di Negeri Sembilan sejak tahun lalu sehingga sekarang mengikut daerah, pada sesi Pertanyaan Lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Aminuddin (PH-Sikamat) berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membuat kajian mengenai potensi berlakunya banjir.

Beliau berkata, langkah berstruktur sudah dilaksanakan bagi mengatasi impak banjir menerusi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Simin, Sungai Gemas, Sungai Jimah dan Sungai Linggi.

"JPS juga akan melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Seremban dan Port Dickson, yang dijangka siap pada Disember 2021," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 38 kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dalam tempoh antara Januari 2019 hingga Oktober lalu.

Ia membabitkan 18 lokasi di Jempol, Seremban (8), Port Dickson (5), masing-masing dua di Tampin, Kuala Pilah dan Rembau serta satu di Jelebu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 2:52 PM