AHLI PVATTBM membuat laporan polis mengenai ahli perniagaan menghina ATM. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
AHLI PVATTBM membuat laporan polis mengenai ahli perniagaan menghina ATM. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) mahu ahli perniagaan, Koon Yew Yin disiasat mengikut Akta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kenyataannya semalam dalam sebuah blog.

Presiden PVATTBM, Ismail Abidin berkata, kenyataan Koon yang melabel anggota tentera sebagai pemalas dan ‘kerja makan tidur’ secara tidak langsung menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Ketua Pemerintah ATM

“Kenyataan sedemikian adalah satu penghinaan dan bersifat menghasut supaya warga tentera dipandang lekeh di mata rakyat.

“Dia tidak tahukah ATM dinaungi Yang di-Pertuan Agong dan secara tidak langsung bertentangan Akta ATM dan dia tidak tahukah tindakannya menyentuh sensitiviti warga tentera,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, petang tadi.

Semalam, menerusi laman blog kendalian ahli perniagaan itu, Koon meminta kerajaan memecat penjawat awam dan menyemak semula senarai kakitangan di sektor kerajaan.

Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan warga ATM hanya tahu makan dan tidur sahaja.

Sehubungan itu, Ismail tampil membuat laporan polis meminta ahli perniagaan itu disiasat kerana menghina warga ATM di samping mengeluarkan kenyataan menghasut.

Malah katanya, Menteri Pertahanan dan timbalannya digesa mempertimbangkan dengan kementerian berkaitan untuk menarik semula status warganegaranya.

“Mana mungkin seorang warga Malaysia menghina aset negaranya sendiri dan tidak menunjukkan sifat hormat.

“Apa dia (Koon) sudah lupa siapakah yang dahulunya bermati-matian berjuang mempertahankan tanah air di medan peperangan?” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 8:22 PM