SYED Hussian (dua dari kanan) menerima anugerah disampaikan Ahmad Fuzi (dua dari kiri). FOTO DANIAL SAAD
SYED Hussian (dua dari kanan) menerima anugerah disampaikan Ahmad Fuzi (dua dari kiri). FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Dr Syed Hussian Aljunid menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Antarabangsa INPenang (INPenang International Outstanding Achievers Award) pada majlis Anugerah Antarabangsa INPenang 2021 ke-5, hari ini.

Anugerah itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.

Majlis anugerah diadakan dua tahun sekali itu dihadiri kira-kira 300 orang kenamaan daripada pelbagai industri.

Syed Hussian antara 17 individu dan pertubuhan di Pulau Pinang yang mencapai kecemerlangan dalam industri masing-masing serta menyumbang kepada masyarakat.

"Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Antarabangsa INPenang ini.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi berkongsi anugerah dan memberi penghormatan kepada rakan sekerja kerana ia mengiktiraf organisasi serta individu yang sudah mencapai kecemerlangan dalam industri," katanya.

Syed Hussian berkata, sebagai syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia, beliau percaya pihaknya memainkan peranan sangat aktif kepada masyarakat sejak dua tahun lalu.

Katanya, bukan sahaja membawa berita terkini dan relevan, tetapi melaksanakan inisiatif berkaitan komuniti bagi membantu masyarakat di Pulau Pinang dan di seluruh Malaysia.

"Secara peribadi, anugerah ini akan menjadi inspirasi kepada saya bagi meneruskan kerja keras kami pada 2022 dan seterusnya," katanya.

Turut mengetuai senarai penerima ialah pengasas dan Ketua Eksekutif Kumpulan Pensonic Holdings Bhd, Datuk Seri Chew Weng Khak, yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat INPenang 2021.

Dua anugerah istimewa dan bermakna turut disampaikan kepada petugas barisan hadapan iaitu polis Pulau Pinang dan petugas kesihatan atas khidmat cemerlang mereka semasa pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 11:05 PM