GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita warga emas, yang sebelum ini dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pembantu rumahnya warga Indonesia, selepas dia gagal hadir pada prosiding kes itu, hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat terhadap M A Ambika, 63, selepas mahkamah tidak menerima sijil sakit dikemukakan anak perempuan Ambika, R Jayavartiny bagi pihak ibunya.

"Mahkamah ditunjukkan sijil sakit responden (Ambika) yang menyatakan mengenai keadaannya. Doktor yang memeriksa responden telah dimaklumkan mengenai prosiding mahkamah pada hari ini.

"Namun, sijil sakit itu tidak menyatakan bahawa responden tidak boleh hadir hari ini. Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima sijil sakit ini.

"Kes ini tertangguh beberapa kali disebabkan responden tidak hadir. Mengikut prosiding, bagi kes rayuan jenayah, kedua-dua pihak (perayu dan responden) perlu hadir. Maka, kami tiada pilihan selain mengeluarkan waran tangkap bagi memaksa responden hadir ke mahkamah," kata Hakim Ong yang bersidang bersama Hakim Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari depan untuk pengurusan kes itu.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 September 2020 yang mengekalkan pembebasan Ambika atas kesalahan membunuh.

Pada April 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada pertuduhan membunuh pembantu rumahnya Adelina Lisao, 26, warga Indonesia, di rumahnya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 10 Februari 2018.

Adelina meninggal dunia kerana kegagalan organ akibat daripada penderaan didakwa dilakukan terhadap dirinya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir berkata, Ambika dibebaskan ketika perbicaraan sedang berjalan berikutan timbalan pendakwa raya tidak memberikan alasan kukuh apabila mengemukakan permohonan bagi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Katanya, peguam bela telah menggesa mahkamah memberikan pembebasan, memberikan alasan faktor umur dan masalah kesihatan dihadapi tertuduh, mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Prosedur Jenayah, dan menurutnya di bawah seksyen itu, adalah jelas mahkamah di bawah keadaan tertentu mempunyai budi bicara untuk memerintahkan pembebasan dan bukannya DNAA.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap responden (Ambika) berikutan wanita itu jelas dengan sengaja tidak hadir ke mahkamah, hari ini.

"Responden sepatutnya tahu prosiding hari ini kerana notis kehadiran telah dihantar ke rumahnya di Pulau Pinang, kira-kira 8 malam, semalam. Sebelum ini, hampir tujuh kali pihak polis telah cuba menyerahkan notis itu kepada responden secara serahan tangan, namun gagal.

"Apabila pihak polis sampai di rumah responden, didapati pintu pagar bertutup dan apabila loceng rumah dibunyikan, tiada orang keluar. Polis cuba bertanyakan kepada jiran responden dan jiran memaklumkan rumah itu didiami dua orang wanita India iaitu seorang ibu dan anak, tetapi mereka tidak pernah bertegur sapa.

"Notis kehadiran itu turut ditampal pada pagar rumah responden dan responden dan anaknya sepatutnya tahu kewujudan notis tersebut," katanya yang turut memaklumkan ini bukan pertama kali wanita itu tidak hadir pada prosiding mahkamah yang dijadualkan.

Sementara itu, Jayavartiny, yang mengemukakan sijil sakit ibunya ke mahkamah, memaklumkan kepada panel hakim bahawa ibunya tidak sihat dan mempunyai kesukaran untuk berjalan.

"Ibu saya dibawa ke hospital di Pulau Pinang pada 7 Disember kerana sakit lutut dan sukar berjalan. Keadaannya semakin teruk kerana ibu tidak dapat berdiri dan dia hanya baring di atas katil," katanya yang turut memaklumkan bahawa ibunya tahu mengenai prosiding hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto berkata, tindakan mahkamah mengeluarkan waran tangkap dilihat sebagai satu perkembangan baik dan pihaknya berharap keadilan dapat diberikan kerana keputusan mahkamah terdahulu, melepas dan membebaskan Ambika telah mengecewakan Indonesia terutama keluarga Adelina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 3:34 PM