Zahari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) pengedar air bunga telang Peladangnita Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ). FOTO OMAR AHMAD
Zahari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) pengedar air bunga telang Peladangnita Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ). FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sudah menghantar 80 tan metrik beras putih tempatan (BPT) ke Johor, bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan asasi di negeri ini.

Ia diagihkan menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Datuk Zahari Sarip berkata, bekalan BPT diterima oleh secara berperingkat membabitkan 60 tan metrik pada semalam dan hari ini.

Baki 20 tan metrik pula diterima daripada LPP.

"Penghantaran BPT ini adalah yang pertama dilakukan oleh Kerajaan Pusat sebagai langkah intervensi beras. Edaran BPT fasa pertama membabitkan 30 tan metrik ke 38 rangkaian pusat membeli belah besar seluruh Johor.

"Manakala edaran BPT fasa kedua sedang diagihkan kepada empat pusat pengumpulan iaitu di Johor Bahru, Tangkak, Batu Pahat dan Simpang Renggam sebelum disalurkan kepada seluruh 35 outlet Fama dan pasar tani kekal seluruh Johor, dan mula dijual mulai esok.

"Kerajaan negeri akan ambil tindakan, kami sedang bincang dengan Jabatan Pertanian dan agensi lain termasuk Pejabat Menteri Besar, jika apa yang dilakukan Fama ini mendatangkan hasil yang baik, kita juga mungkin akan bantu Fama untuk teruskan program ini diperingkat negeri.

"Contoh, jika Fama bantu 30 tan metrik, mungkin kerajaan negeri akan tambah mengikut keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita Negeri Johor di Institut Pengurusan Peladang di sini, hari ini.

Menurut Zahari, pengagihan BPT akan dibuat mengikut keperluan dan kepadatan penduduk.

"Keperluan rakyat ialah BPT dan bukan beras import. Beras import tiada masalah. Menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan harga BPT dikawal pada kadar RM24 hingga RM26 bagi pek 10 kilogram," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahari memaklumkan, keluaran hasil padi di Johor meningkat 30.1 peratus pada musim menuai utama bagi tempoh 2021 hingga Disember 2022 berbanding tempoh pengeluaran 2020 hingga 2021.

Katanya, hasil tanaman itu meningkat daripada 4,746 tan metrik kepada 6,225 tan metrik.

Di Johor, terdapat 900 pesawah membabitkan 10 lokasi di seluruh negeri dengan keluasan 2,900 hektar.

Ia antaranya membabitkan lokasi penanaman padi di Batu Pahat, Muar, Tangkak, Kota Tinggi dan Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 3:55 PM