Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Sebanyak 317 kemalangan membabitkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Disember 2012 sehingga November tahun ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, daripada jumlah itu, 314 kes membabitkan kecederaan manakala tiga kes kematian direkodkan masing-masing di Kontinjen Kedah, Terengganu dan Sarawak.

Beliau berkata, bagi menjamin keselamatan petugas terpelihara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperolehi 3,218 set Kit URB yang membabitkan perbelanjaan RM7.4 juta.

"Pucuk pimpinan PDRM tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan dan kebajikan anggotanya ketika menjalankan tugas.

"Sehubungan dengan itu, sebagai permulaan sebanyak 173 set Kit URB dikhaskan kepada Kontinjen Sabah sebelum diagihkan secara berperingkat ke kontinjen lain di seluruh negara.

"Kontinjen Sabah yang pertama menerima Kit URB baharu untuk tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kit Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

RAMLI Din melihat Kit URB baharu yang diperkenalkan pada Majlis Penyerahan Kit Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di IPD Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
RAMLI Din melihat Kit URB baharu yang diperkenalkan pada Majlis Penyerahan Kit Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di IPD Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK, Datuk Mustafa Khan Abdul Samat, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Dasar Sumber) JPJKK, Senior Asisten Komisioner Saiman Kasran dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Ramli berkata, sehingga kini, JPJKK Kontinjen Sabah memiliki 275 motosikal URB dan 225 Kereta Peronda Polis (MPV) bagi menjalankan tugas rondaan pencegahan jenayah yang strategik di seluruh negeri ini.

Katanya, URB dan MPV adalah entiti penting yang berfungsi untuk melaksanakan pencegahan jenayah secara holistik melalui mekanisma rondaan yang berkesan.

Menurutnya, antara tujuan pembekalan Kit URB itu adalah untuk menjaga keselamatan dan perlindungan diri anggota bertugas selain meningkatkan imej dan keyakinan anggota rondaan yang terdedah sebarang bahaya ketika menjalankan tugas seperti kemalangan jalan raya dan jenayah.

Setiap set Kit URB baharu yang diperkenal itu mengandungi beg URB, topi keledar, jaket malam, vest (rompi), sarung tangan, pelindung siku, pelindung lutut dan kasut taktikal yang dianggarkan bernilai bernilai RM2,290.00.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 3:27 PM