GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BERNAMA

Shah Alam: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya merampas 6,910 karton pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM759,434.88 termasuk cukai di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama, di ibu negara petang semalam.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Shamsol Kassim dalam kenyataan berkata, taktik sindiket pengedaran rokok seludup menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai stor transit mereka terbongkar apabila kediaman itu diserbu pada 3.30 petang, namun tiada tangkapan dilakukan.

Shamsol berkata, aktiviti itu terbongkar hasil intipan PPM Pelabuhan Klang menerusi Op Contraband terhadap sebuah kereta Proton Persona yang baru selesai menghantar rokok tidak bercukai di kawasan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dekat sini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengekori kereta itu sehingga ditemui diparkir di sebuah rumah di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama.

"Setelah memanggil penghuni rumah dan tidak disahut oleh mereka, pasukan serbuan bertindak memanjat pagar dan memasuki rumah yang tidak berkunci itu.

"Pemeriksaan telah dibuat yang mana tiada penghuni didalamnya serta dipercayai mereka telah melarikan diri melalui pintu belakang rumah yang terbuka," katanya.

Turut dirampas sebuah Proton Persona dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM779,434.88.

Shamsol turut menjelaskan siasatan awal mendapati rumah itu disewa sindiket berkenaan sebagai stor transit untuk pasaran sekitar Lembah Klang berdasarkan resit yang ditemui di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 9:26 PM