Laporan Harian Metro. FOTO NSTP
Laporan Harian Metro. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS tidak menolak kemungkinan lebih ramai pelarian etnik Rohingya dari Bangladesh akan masuk ke perairan negara menggunakan khidmat sindiket penyeludupan migran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menyedari perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kawalan dari Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diperketat.

“Fokus kawalan keselamatan di perairan negara tertumpu di kawasan Selat Melaka dan bahagian utara tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di Perkarangan Kompleks Bunga Raya, di Sepang, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya juga sedang mengesan sindiket penyeludupan migran yang aktif membawa masuk pelarian Rohingya.

Hari ini, akhbar Harian Metro dalam laporan eksklusifnya melaporkan PPM berjaya menyelamatkan 65 pelarian etnik Rohingya dalam keadaan kebuluran dan kelaparan selepas bot dinaiki mereka hanyut selama 20 hari ketika cuba diseludup masuk ke negara ini.

Sindiket terbabit dipercayai menyeludup etnik Rohingya itu dari Kem Kutupalong, Chittagong, Bangladesh dengan bayaran antara RM1,300 dan RM1,800 seorang.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tiga lelaki Bangladesh yang mendalangi kegiatan penyeludupan itu meninggalkan bot di perairan antarabangsa selepas mengalami kerosakan.

“Selepas gagal membaiki kerosakan enjin bot, tiga lelaki Bangladesh itu menghubungi rakan mereka untuk mendapatkan bantuan.

“Setibanya rakan mereka pada hari kelapan pelayaran, tiga suspek meninggalkan pelarian terbabit sambil mendakwa akan kembali membawa mereka ke Malaysia dengan bot baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 11:36 AM