BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menawarkan insentif tambahan kepada petani yang terjejas bagi menangani kenaikan harga baja dan racun.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan itu masih di peringkat penelitian dan perbincangan lanjut bersama MOF.

"Kerajaan akan terus mengambil langkah menangani kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kaedah mengawal dan mengurus trend perubahan harga bekalan baja dan racun yang naik mendadak serta inisiatif khas menaikkan pendapatan petani dan peladang.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

Ronald berkata, harga baja didapati telah meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun meningkat hampir 100 peratus dengan kenaikan harga itu ditentukan kuasa pasaran.

"Antara faktor yang dikenal pasti mempengaruhi kenaikan harga ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport yang mengurangkan bekalan, kenaikan kos bahan mentah yang melibatkan hasil petroleum dan sumber asli, peningkatan kos logistik serta kadar tukaran mata wang asing," katanya.

Ronald berkata, seramai 276,621 petani terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun merangkumi tanaman buah, sayur, tanaman ladang, kelapa, bunga-bungaan, herba dan rempah ratus dengan keluasan tanaman 405,509 hektar, selain 356,000 pesawah dengan keluasan tanaman padi 608,000 hektar.

Beliau berkata, secara umumnya, petani mengalami peningkatan kos input pertanian sebanyak 21 peratus bagi kategori sayur daun dan 17 peratus masing-masing bagi kategori sayur buah dan buah-buahan berikutan peningkatan harga baja dan racun.

Katanya, pesawah pula mengalami peningkatan kos sebanyak 11.9 peratus khususnya disebabkan peningkatan harga racun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:41 PM