IBRAHIM (dua dari kiri) melancarkan Mobile Cafe di Universiti Limkokwing, semalam.
IBRAHIM (dua dari kiri) melancarkan Mobile Cafe di Universiti Limkokwing, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Brahim’s Dewina Sdn Bhd memperkenalkan kafe mudah alih berkuasa solar pertama dikenali Mobile Cafe sempena sambutan ulang tahun ke-30 jenama itu.

Kafe mudah alih itu membolehkan jenama Brahim’s berada di kawasan bertrafik tinggi seperti universiti, kediaman dan kawasan parkir sekitar Lembah Klang.

Pengerusi Eksekutif Dewina Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, menerusi Green Mobile Cafe pihaknya mempunyai jangkauan kawasan lebih luas termasuk di luar bandar.

Katanya, dengan penggunaan tenaga solar, ia mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada persekitaran hijau.

“Kami menampilkan kafe hijau ini dengan sentuhan berbeza melalui penyediaan demo masakan dan sampel makanan percuma kepada pelanggan.

“Kami juga menawarkan menu ala carte dan kombo untuk dibawa balik dan pelanggan boleh membeli semua jenis produk Brahim’s,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pengenalan Mobile Cafe ini juga sebahagian usaha mengembangkan aktiviti di cawangan Brahim’s serta selari dengan usaha berterusan syarikat mempromosikan kemudahan makanan sihat di pasar raya seluruh negara.

Menurutnya, syarikat akan bekerjasama dengan Universiti Limkokwing bagi menerapkan reka bentuk kreatif dan inovatif mereka dalam Green Mobile Cafe bagi meningkatkan daya tarikannya kepada pasaran pengguna muda.

Katanya, Brahim’s juga memberi fokus kepada trend seterusnya untuk kekal sebagai jenama pilihan nutrisi dan lazat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 4:04 AM