GAMBAR hiasan. Pulau Tinggi. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pulau Tinggi. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kepulauan Mersing yang kaya dengan batuan dan mempunyai habitat terumbu karang dikesan menarik kehadiran ikan lumba-lumba, dugong, jerung paus (whale shark) dan pari manta ray.

Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Samsolbari Jamali berkata, Jabatan Perikanan Negeri Johor mengenal pasti kehadiran hidupan laut terbabit di Taman Laut Johor.

"Taman Laut Johor adalah terluas di Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada 13 pulau. Kawasan perairannya adalah laluan penghijrahan utama pelbagai spesies hidupan marin antaranya ialah penyu, lumba-lumba dan dugong.

"Sekiranya perairan ini diwartakan, hidupan marin di kawasan ini dapat membiak dan berkembang dengan baik tanpa gangguan dan ancaman sekaligus melindungi populasi hidupan marin terutamanya sumber perikanan dan pengekalan kepelbagaian sumber genetik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berkenaan usaha kerajaan negeri bagi melindungi spesis laut yang berharga di Mersing pada PersidanganKeempat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata, bagi perlindungan khazanahtaman laut terbabit, Seksyen 41 hingga 45, Akta Perikanan 1985 digunapakai terhadap peraturan mengenai pengurusan, larangan dan penguatkuasaan.

"Antara aktiviti yang dilarang adalah mengambil, menangkap, atau mengganggu, mana-mana sumber marin sama ada hidup atau mati dan membina sebarang struktur di kawasan perairan taman laut.

"Terdapat 32 kes tangkapan yang telah dibuat pada tahun 2021 ini di sekitar perairan Mersing," katanya.

Berkaitan program konservasi penyu pula, katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi konservasi penyu, selain membeli telur penyu daripadaWpenduduk dan ditetaskan di pusat konservasi penyu di Pulau Tinggi, Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 12:58 PM