PAPARAN video tular yang menunjukkan sekumpulan ikan lumba lumba muncul di perairan dipercayai di Tanjung Tuan. FOTO Tular
PAPARAN video tular yang menunjukkan sekumpulan ikan lumba lumba muncul di perairan dipercayai di Tanjung Tuan. FOTO Tular
BERNAMA

KEHADIRAN ikan lumba-lumba di perairan Port Dickson adalah saat 'emas' bagi orang ramai apabila berpeluang melihat sendiri aksi spesies marin itu, sekali gus merakamkan kejadian itu seperti tular di Facebook (FB), semalam.

Rakaman berdurasi 43 saat itu memaparkan aksi sekumpulan empat ikan lumba-lumba di perairan Tanjung Tuan dan ia dikongsi menerusi akaun FB 'N9 INFO TRAFFIC' serta mendapat ribuan 'tanda suka', ratusan 'share' dan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Namun, fenomena itu adalah perkara biasa bagi nelayan dan kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS).

Pengarah JPNS, Halimi Abu Hanip berkata, ikan lumba-lumba spesies itu memang biasa dijumpai di perairan Malaysia dan spesies mamalia marin dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

"Jadi nelayan tidak dibenarkan untuk tangkap ikan itu.

Kami berharap semua pihak supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan kerana ia adalah haiwan marin dilindungi bersama paus, dugong, penyu, yu gergaji, yu sirip putih besar, yu tukul dan pari manta," katanya ketika dihubungi Bernama di Port Dickson, hari ini.

Halimi berkata, tidak dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memberi kesan baik terhadap alam sekitar.

"Ia menunjukkan dengan ketiadaan aktiviti perikanan rekreasi, aktiviti penangkapan ikan tidak bertanggungjawab, aktiviti rekreasi air di Port Dickson dan ketiadaan orang ramai maka hidupan marin itu yang selalunya berkeliaran jauh akan lebih berani menghampiri kawasan pantai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam berkata, kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan nelayan ketika berada di laut.

"Bagi nelayan kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah biasa kami lihat dan apabila orang awam ternampak buat pertama kali mungkin mereka agak terkejut dan teruja melihat ikan lumba-lumba di permukaan air.

"Kali terakhir syaa melihat ikan lumba-lumba di laluan kapal kargo di perairan Tanjung Tuan pada Disember tahun lalu dan ia suka mengekori kapal sebab suka bermain alun di depan kapal.

"Ikan lumba-lumba suka bermain dan kadang-kadang ikut bot kita dan terus berada di depan bot. Saya berasa seronok melihat gelagat ikan lumba-lumba itu dan sedikit sebanyak mengurangkan kepenatan kami mencari rezeki di laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 3:23 PM