Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kes jenayah komersial di Terengganu merekodkan sebanyak 1,051 kes berbanding 867 kes bagi tempoh 10 bulan bermula Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, ia membabitkan kerugian hampir RM13.5 juta tahun ini berbanding RM15.3 juta tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kebanyakan kes penipuan tertinggi adalah Macau Scam, pembelian secara dalam talian dan pinjaman wang tidak wujud.

"Walaupun jumlah kerugian berkurangan tahun ini tetapi ia tetap membimbangkan berikutan berlaku peningkatan kes sehingga hampir 30 peratus.

M Zambri Mahmud (kanan) menyampaikan risalah kesedaran  membabitkan kes jenayah komersial kepada orang ramai di KTCC Mall. FOTO GHAZALI KORI
M Zambri Mahmud (kanan) menyampaikan risalah kesedaran membabitkan kes jenayah komersial kepada orang ramai di KTCC Mall. FOTO GHAZALI KORI

"Kebanyakan laporan yang kita terima daripada mangsa membabitkan kerugian antara RM1,000 hingga ratusan ribu ringgit.

"Kita tidak menolak kemungkinan kes jenayah komersial meningkat pada tahun ini kerana masyarakat mula beralih kepada pembelian secara dalam talian ketika pandemik," katanya ketika ditemui selepas Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Peringkat Kontinjen Terengganu di sini, hari ini

M Zambri berkata, kempen pencegahan diadakan bagi meningkatkan kesedaran jenayah komersial sehingga menyebabkan ramai yang menjadi mangsa.

"Daripada segi pecahan mengikut daerah pula, Kuala Terengganu merekodkan kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM4.19 juta (445 kes) diikuti Hulu Terengganu yang merekodkan hampir RM4.16 juta (67 kes), Kemaman sebanyak RM1.72 juta (144 kes), Dungun sebanyak RM1.33 juta (156 kes) dan Besut sebanyak RM1.02 juta (68 kes).

"Dua daerah lagi menunjukkan kerugian kurang daripada RM100,000 iaitu Marang dan Setiu, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 5:17 PM