Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kurangnya kesedaran menyebabkan masih ramai individu menjadi mangsa penipuan membabitkan 'scammer' dan pelbagai pelaburan, sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, penipuan membabitkan jenayah komersial di negeri ini dari Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan 697 mangsa dengan nilai kerugian RM12.75 juta.

Beliau berkata, jumlah kes komersial sepanjang tahun lalu adalah 866 kes dengan kerugian RM18.97 juta.

Menurutnya, bagi tahun ini, mangsa paling ramai membabitkan penipuan e-dagang iaitu 282 orang dengan jumlah kerugian RM1.538 juta, pinjaman tidak wujud babitkan 100 mangsa dengan kerugian RM1.03 juta, tipu pelaburan dalam talian seramai 62 orang dan kerugian RM1.07 juta serta Macau Scam babitkan 53 mangsa dan jumlah kerugian RM1.86 juta.

"Kakitangan swasta paling ramai menjadi mangsa iaitu 359 orang, diikuti kakitangan kerajaan 135 mangsa, lain-lain (100 orang), pelajar (93 orang) dan golongan profesional (10 orang).

"Mangsa membabitkan pelbagai peringkat umur di antara 20 hingga 60-an dan mangsa paling ramai adalah berusia 20 hingga 30 tahun iaitu seramai 316 orang kerana golongan ini banyak menggunakan teknologi canggih atau gajet.

SHAFIEN (dua kanan) beramah mesra dengan pengunjung di Program Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) di Pasaraya KB Mall. FOTO Hidayatidayu Razali
SHAFIEN (dua kanan) beramah mesra dengan pengunjung di Program Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) di Pasaraya KB Mall. FOTO Hidayatidayu Razali

"Misalnya penipuan Macau Scam, mangsa terpedaya menyerahkan wang selepas diminta scammer yang mendakwa mereka mempunyai hutang dengan Bank Negara atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan keadaan ini menyebabkan mangsa mudah panik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) di pusat beli-belah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed serta Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Asisten Komisioner Mit Emong.

Shafien berkata, penipuan 'love scam' membabitkan ramai mangsa wanita berusia antara 20 hingga 30-an yang terpedaya dengan janji manis kononnya mereka akan diberi kemewahan oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata, 'scammer' turut mengugut supaya tidak memberitahu orang lain untuk mengelakkan tindakan selanjutnya dilakukan sebelum mangsa menyerahkan wang menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

"Kami menasihatkan masyarakat negeri ini supaya memeriksa dahulu status panggilan untuk mengetahui sama ada ia adalah scammer atau sebaliknya.

"Ini penting untuk mengelakkan mereka ditipu sehingga mengalami kerugian yang banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 3:31 PM