GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Seramai 1,000 anak yatim piatu akibat kematian ibu bapa disebabkan Covid-19 di negeri ini, akan menerima bantuan antara RM2,500 sehingga RM5,000 secara 'one-off' menerusi simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukkan sebanyak RM3 juta akan disalurkan menerusi inisiatif Anak Angkat Makmur Johor, yang akan diuruskan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim.

"Di bawah inisiatif itu juga baucar persekolahan dan bantuan yuran kemasukan ke institusi pengajian tinggi akan diberikan kepada anak-anak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19.

"Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor menyediakan program kaunseling dan motivasi.

"Saya berharap usaha ini dapat membantu 1,000 anak Johor yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 dan memastikan kebajikan mereka juga sentiasa terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Hasni berkata, sebanyak RM8.2 juta peruntukan di bawah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga akan disalurkan kepada 32,000 pelajar untuk membeli pakaian sekolah dan alat tulis.

"Selain itu, sebanyak RM 2.2 juta di bawah MAIJ diperuntukkan untuk bantuan yuran pendaftaran kepada 2,000 penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:35 PM