WAN Saiful.
WAN Saiful.
Ahmad Suhael Adnan

Ayer Keroh: Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai tidak realistik, selain memberi harapan palsu kepada rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mengambil contoh janji calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari untuk menghentikan penjualan pasir di Melaka jika parti itu menang Sabtu ini, perkara itu bukanlah menjadi isu.

"Masalah kita bukan jual pasir. Ini adalah satu perniagaan. Yang kita tak setuju ialah berebut kontrak pasir untuk kekayaan diri sendiri dalam kalangan orang politik.

"Malah, jatuhnya kerajaan Melaka ini juga dikatakan sebab berebut kontrak pasir. Apa salahnya kalau ia dibuat dengan cara yang berintegriti dan telus?

"Jangan percaya kepada janji populis kerana inilah sikap biasa yang diamalkan oleh PH," katanya pada sidang media di pejabat BERSATU Hang Tuah Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) juga menyifatkan Barisan Nasional (BN) tidak layak untuk mengangkat kestabilan sebagai perkara yang diperjuangkan pada PRN Melaka.

"Tindakan BN menjanjikan kestabilan sebagai janggal dan 'bahan lawak' kerana jelas parti itu mencetuskan ketidakstabilan politik di Melaka, Perak, Johor serta di peringkat persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 4:42 PM